Translate

Contoh Karangan Langkah-langkah Mengurangkan Kemalangan Jalan Raya

 

Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah mengurangkan kemalangan jalan raya. 


    Dewasa ini, isu kemalangan jalan raya acap kali disiarkan di berita nasional mahupun di dada akhbar. Kemalangan yang meragut ratusan nyawa sudah menjadi perkara biasa bagi masyarakat Malaysia. Meskipun begitu, terdapat juga sesetengah masyarakat yang tidak serik dengan perkara yang berlaku berulang kali. Mereka bagai masuk telinga kanan, keluar telinga kiri sama sekali tidak mengendahkan bahaya yang bakal menjemput diri mereka. Oleh itu, kita sebagai masyarakat yang prihatin perlu mengambil langkah inisiatif untuk mengurangkan kemalangan jalan raya yang semakin berleluasa. 

    Antara faktor perdana yang boleh mengurangkan kemalangan jalan raya adalah pihak berwajib boleh mengadakan kempen keselamatan jalan raya. Hal ini demikian kerana rakyat Malaysia perlu diberi pendedahan tentang bahaya yang boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya. Sebagai contoh, pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk, melanggar lampu isyarat, memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan ini lebih cenderung untuk mengalami kemalangan jalan raya. Hal ini juga boleh mengakibatkan bahaya kepada orang lain yang berhati-hati di jalan raya, hanya disebabkan oleh kecuaian pemandu yang lain. Oleh itu, slogan pandu,cermat jiwa selamat serta ingatlah orang tersayang perlulah diterapkan ke dalam jiwa setiap pemandu. Dengan cara ini, kemalangan dapat dikurangkan sedikit demi sedikit.

    Selain itu, pemandu perlulah mematuhi peraturan jalan raya bagi mengurangkan masalah kemalangan jalan raya. Hal ini disebabkan oleh pemandu kurang mengambil berat akan kepentingan mematuhi peraturan jalan raya. Terdapat juga pemandu yang terburu-buru dalam pemanduan kenderaan untuk segera sampai ke destinasi dengan melanggar peraturan jalan raya. Pihak berkuasa perlulah memperketatkan denda kepada pesalah yang enggan mematuhi peraturan jalan raya. Sebagai contoh, pemandu yang didapati bersalah melanggar lampu isyarat tidak dapat terlepas daripada hukuman yang ditetapkan malah memberikan mereka kesedaran tentang bahaya melanggar lampu isyarat. Dengan cara ini, pemandu yang mematuhi jalan raya dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. 

    Di samping itu, masyarakat mestilah memeriksa keadaan kenderaan dengan baik untuk mengelakkan kenderaan berada dalam keadaan yang bahaya. Hal ini demikian kerana jika kenderaan berada dalam keadaan rosak, pemandu akan berisiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya. Sebagai contoh, seorang pemandu hendak memulakan perjalanan jauh dari Muar ke Terengganu dan mendapati tayar kenderaan milik pemandu tersebut sudah tidak mencengkam, maka pemilik kereta tersebut mestilah menukar tayar berkenaan secepat yang mungkin. Hal ini boleh mengelakkan pemandu kemalangan jika situasi seperti hujan lebat di lebuhraya hingga mengakibatkan tayar kereta tidak dapat mencengkam jika brek ditekan bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Jelaslah bahawa, kemalangan jalan raya dapat dikurangkan jika keadaan kereta diperiksa terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. 

    Seterusnya, generasi muda perlu juga diutamakan melalui Pendidikan Keselamatan Jalan Raya di sekolah. Pihak sekolah boleh menerangkan peraturan dan bahaya jika berada di jalan raya terutamanya kepada para pelajar yang menaiki kenderaan ke sekolah sama ada menaiki motor mahupun kereta. Sebagai contoh, pihak sekolah boleh mengadakan ceramah dan menjemput beberapa ahli jemputan antaranya Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Raya tentang punca dan kesan kemalangan jalan raya. Sebagai impaknya, kemalangan jalan raya dapat dikurangkan dengan memberikan pendidikan awal pada peringkat persekolahan. 

    Kesimpulannya, masyarakat Malaysia mestilah bersama-sama bersatu hati dalam menjayakan langkah demi mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang sentiasa berlaku saban tahun. Kehilangan orang tersayang disebabkan kemalangan jalan raya tidak patut berlaku dalam mana-mana ahli keluarga di Malaysia. Sesungguhnya, mencegah lebih baik daripada mengubati itu perlu disematkan dalam diri setiap lapisan masyarakat bagi menjadikan kemalangan jalan raya ini menjadi kes yang tidak lagi melibatkan ratusan nyawa dalam kalangan masyarakat.


Pengarang:

Nurul Amyeza Binti Abu Bakar, Peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan 4 2012,

Ubahsuai oleh, Nurul Amyeza binti Abu Bakar ,2021


Terima kasih.




Pengalaman Temuduga Guru Sambilan MRSM 2020

 

Assalamualaikum w.b.t


Post ini sekadar untuk berkongsi pengalaman saya temuduga guru sambilan MRSM untuk tahun 2020. Perkara ini mungkin dapat membantu pembaca dengan mengambil situasi saya ini sebagai rujukan. Saya merupakan graduasi kos pendidikan. Buat pengetahuan semua, kamu boleh memohon guru sambilan MRSM apabila iklan jawatan kosong disiarkan oleh pihak MRSM itu sendiri. Jika tempat kamu mempunyai MRSM berdekatan, maka boleh ikuti laman web atau laman sosial media mereka bagi mendapatkan hebahan iklan tersebut. Jika kamu bukan dalam pendidikan tetapi mahu mencuba untuk menjadi guru ganti juga boleh memohon, tidak mengapa. Hanya hantar resume kepada alamat sekolah berkenaan seperti yang tertera di hebahan iklan tersebut. Selepas itu, tunggulah panggilan daripada mereka. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. HEHE


Berdasarkan kronologi pengalaman saya, 

Saya mula memohon apabila saya mendapat iklan hebahan jawatan di laman sosial, maka tanpa berlengah saya pun memohon dengan membuat resume saya dan menghantar dokumen tersebut melalui pos laju. Pada masa itu, saya memohon MRSM yang jauh satu jam perjalanan daripada tempat tinggal saya kerana iklan tersebut mempunyai bidang yang saya mahukan. 


Beberapa minggu kemudian, saya mendapat panggilan yang menyatakan saya perlu menghadiri sesi temuduga dua hari selepas panggilan ini diterima. Dengan penuh semangat dan gentar, saya pun study sikit hal-hal berkaitan institusi tersebut serta saya melayari beberapa blogger yang menceritakan pengalaman mereka menghadiri temuduga tersebut serta bersedia dengan beberapa soalan yang mungkin ditanya. 


Pada pagi hari tersebut, saya dan bapa saya memulakan perjalanan ke institusi berkenaan seawal jam 730 pagi. Hal ini demikian kerana sesi temuduga tersebut bermula pada jam 9.00 pagi dan jauh daripada tempat tinggal saya. Jadi kenalah berangkat awal pagi kan. 


Setibanya di sana, saya dapat melihat beberapa calon lain juga melangkah ke pejabat institusi berkenaan. Saya mengekori langkah mereka kerana saya kurang tahu akan selok belok bangunan di situ. Saya yang menyangka bahawa mereka ke pejabat telah membawa saya ke depan bilik mesyuarat dan ternyata terdapat beberapa calon yang telah menunggu juga bersama. Pada waktu itu, terdapat dua bidang yang diperlukan iaitu bidang yang saya mohon iaitu subjek bahasa Melayu dan lagi satu subjek Biologi. Terdapat 6 calon daripada subjek Biologi dan 5 calon bagi subjek Bahasa Melayu. Tidak lama tibanya saya depan bilik mesyuarat tersebut, seorang guru yang menguruskan sesi temu duga tersebut memanggil nama untuk giliran temuduga dan saya adalah calon pertama untuk ditemu duga. *panikk gakkk, panik laa masakan tidakkkk


Jadi bila nama dah dipanggil tu, saya pun masuk bilik mesyuarat itu dengan perasaan yang bercampur baur. Suasana di bilik mesyuarat itu sangat sugul dan biliknya pun besar HAHA penemu duga itu terdiri daripada pengetua, guru kanan, guru cemerlang, guru panitia HA semua lah ada. Lebih kurang 8 orang juga lah dalam tu. Saya pun meletakkan fail saya di atas meja dan mereka menyuruh saya untuk memperkenalkan diri saya. Mereka bertanyakan kepada saya beberapa soalan iaitu 

1. Apakah pengalaman yang manis saya lakukan semasa saya praktikum.

lagi apa eh, tapi soalannya senang ja, tak macam soalan interview masa SPP haha. Basically mereka akan tanya berdasarkan resume yang kita tulis dan beberapa soalan tentang cara pengawalan kelas untuk budak2 MRSM macamtu. 

Selepas itu, mereka menyuruh saya untuk melakukan mockteaching selama lebih kurang 5 minit. Seusai sahaja, mereka bertanya tentang kelemahan dan kelebihan mockteaching kepada saya. Lebih kurang macam refleksi la kot masetu. Dan berakhirlah sesi temuduga tersebut bersama saya. Saya pun melangkah keluar daripada bilik tersebut dengan ucapan terima kasih (tiada salam sebab zaman awal-awal covid). 


Selepas itu, saya melepak dengan beberapa calon dan mengambil gambar kenangan. Saya pun pulang ke rumah dengan perasaan yang tidak berharap kerana terdapat beberapa faktor yang menyebabkan saya rasa saya tidak berjaya. Malah, terdapat juga calon yang tinggal jarak lebih dekat dengan institusi tersebut.


Hasil daripada keputusan yang saya temu duga itu, ya betul, saya tidak berjaya. Mereka takkan bagitahu kita berjaya atau gagal interview, cuma semasa selepas temuduga itu, mereka akan beritahu bahawa keputusan interview akan keluar seminggu selepas sesi tersebut. Jadi jika sudah seminggu berlalu dan tidak mendapat panggilan, maka faham fahamlah sendiri gitcheww


Walau bagaimanapun, meskipun saya tidak berjaya tetapi pengalaman itu masih segar di ingatan. Tambahan pula, pengalaman ini boleh dijadikan pemangkin semangat untuk saya bersedia untuk temu duga akan datang terutamanya interview SPP yang mendatang. 


Beberapa bulan kemudian, saya melihat terdapat iklan untuk MRSM berdekatan rumah saya iaitu 15minit sahaja perjalanan. Saya pun memohon dengan menghantar resume ke pejabat institusi berkenaan. Selang beberapa minggu, saya mendapat panggilan untuk menghadiri temu duga, tetapi malangnya saya tak dapat hadir kerana saya sudah mula bekerja di tempat yang lain. 


Sekian, serba sedikit tentang pengalaman saya yang boleh saya kongsikan. Bagi sesiapa yang baru sahaja mahu memohon untuk menjadi guru sambilan, ambil lah peluang ini okay. GOOD LUCK!!