Translate

Format Karangan Surat Kiriman Tidak Rasmi


Surat Kiriman Tidak Rasmi.

1. Surat kiriman tidak rasmi bersifat peribadi. Ia biasanya ditulis untuk ditujukan sama ada kepada sahabat handai ataupun kaum keluarga. 

2. Walaupun surat tersebut bersifat peribadi, tetapi itu bukan bermakna calon-calon boleh menggunakan bahasa pasar semasa menulis surat tidak rasmi di dalam peperiksaan. Penggunaan bahasa mestilah baku dan menggunakan ejaan serta tanda bacaan yang betul.

3. Tujuan penulisan surat kiriman tidak rasmi selalunya untuk:

a) bertanya khabar
b) mengucapkan takziah
c) mengucapkan tahniah
d) memberikan nasihat
e) menjemput atau membuat undangan
f) membalas surat yang telah dikirimkan
g) menceritakan keadaan, suasana atau peristiwa.

4. Bahasa yang digunakan dalam surat tidak rasmi mestilah tepat dan menarik serta mudah untuk difahami oleh pembacanya. 

5. Dalam keadaan tertentu, calon-calon boleh memasukkan pepatah, pantun dan seumpamanya bagi menjadikan surat itu lebih menarik. 

6. Penggunaan ganti nama diri juga perlu diambil kira oleh pelajar. Pastikan anda menggunakan ganti nama diri yang betul semasa menulis surat tidak rasmi. Penggunaan ganti nama diri ini bergantung kepada siapa surat itu anda tulis. 


FORMAT

1. Alamat pengirim ditulis sepenuhnya di sudut kanan, bahagian atas surat.

2. Selangkan satu baris kosong dan tulis tarikh di bawah alamat tersebut. Tarikh mestilah ditulis di bawah alamat pengirim.

3. Selangkan satu atau dua baris dan tulis pembukaan surat. Ia ditulis dengan memasukkan sedikit bahagian permulaannya (di perenggankan). Sebagai permulaan, kata pembuka seperti 'Yang dikasihi', 'Yang diingati', 'Kehadapan sahabatku' dan sebagainya ditulis dengan ringkas.

4. Selangkan satu baris dan tulis kata ganti nama diri penerima di tepi surat tanpa dimasukkan ke dalam ( tanpa diperenggankan). Panggilan yang sesuai harus digunakan bergantung kepada sejauh mana perhubungan antara pengirim dengan penerima surat itu. 
Contoh: anakanda, ayahanda, bonda, saudari/saudara dan sebagainya

5. Kemudian barulah mula menulis isi surat, ia ditulis dalam perenggan dan sejajar dengan pembukaan surat.

6. Selangkan sebaris dan tulis perenggan penutup surat sejajar dengan perenggan pembukaan dan perenggan-perenggan isi. Penutup surat mestilah diakhiri dengan salam, ucapan atau nasihat.

7. Selangkan dua atau tiga baris dan tuliskan pengakuan pengirim di tepi sebelah kanan surat. 
Contoh: Yang Ikhlas, Anakanda yang jauh, Yang mengharap, Yang Benar dan sebagainya

8. Ini diikuti dengan tandatangan pengirim. 

sumber: Google Image 

Sekian sahaja. Diharapkan agar dapat membantu para pelajar dalam memahami dan menulis karangan surat kiriman tidak rasmi. 



FAKTOR-FAKTOR YANG MENJEJASKAN INGATAN


Kemampuan manusia untuk mengingat sesuatu dan menggunakannya semula adalah terhad. Walau bagaimanapun, lupaan yang berlaku pada manusia tidak semestinya sesuatu yang buruk. Sekiranya kita tidak lupa, minda kita akan bertaburan dengan banyak benda-benda tidak penting yang mungkin menyebabkan tidak dapat membuat pemilihan maklumat yang berguna dan berkaitan kepada kita dalam membuat sesuatu keputusan. Lupa perkara yang tidak penting membantu kita untuk mengingati perkara yang penting. 

Lupaan adalah lebih mudah dan senang berlaku berbanding untuk kita mengingat sesuatu perkara. Hal ini berlaku kerana untuk lupa, kita hanya perlu gagal dalam salah satu daripada peringkat ingatan iaitu peringkat rakaman, menyimpan dan mengingat kembali. Manakala untuk mengingat, kita perlu berjaya dalam ketiga-tiga peringkat tersebut. Boleh dikatakan peluang untuk mengingat ialah satu manakala peluang untuk lupa ialah tiga. 

Berikut merupakan faktor-faktor yang menyebabkan terjadinya ingatan terjejas dan lupaan berlaku.

1. KEPUDARAN DAN KEUSANGAN

Dengan berlalunya masa, kepudaran atau keusangan berlaku pada ingatan. Ini menyebabkan hilangnya kesan ingatan (memory trace). Ini bermakna, makin lama tempoh masa antara masa pembelajaran dengan masa bahan itu diingat kembali, makin kabur maklumat atau bahan pembelajaran itu sehingga pudar dan luput daripada simpanan jangka panjang. Faktor ini merupakan penjelasan tentang ingatan yang paling lama dan paling luas digunakan.

2. REPRESI

Penjelasan faktor ini telah dicadangkan oleh Sigmun Frued dalam teorinya yang berkenaan minda bawah sedar. Menurut beliau, ingatan-ingatan yang tidak gembira atau tidak ingin diterima boleh dilupakan dengan sengaja sekiranya kita berniat berbuat demikian. Ingatan-ingatan tersebut dimasukkan ke dalam minda bawah sedar dengan sengaja supaya individu tersebut tidak perlu lagi hidup bersamanya.

Walau bagaimanapun sebahagian daripada perkara dalam Teori Freud tidak diterima secara meluas, tetapi ramai ahli psikologi percaya bahawa lupaan yang bermotivasi tersebut boleh berlaku dalam kehidupan seharian kita.

Sebagai contoh, apabila kita balik daripada percutian, kita selalu akan mengingat waktu-waktu yang gembira semasa percutian dan melupakan waktu-waktu yang tidak sedih dan gembira. Orang yang berjudi juga berkecenderungan untuk ingat waktu-waktu yang dia menang dan lupa waktu-waktu yang dia kalah. 

Hal ini jelas menunjukkan bahawa kita dengan sengaja lupa kerana kita mahu untuk lupa. 

3. PENYELEWENGAN

Ingatan manusia boleh dipengaruhi oleh nilai-nilai dan minat-minat kita. Oleh itu, kita boleh mengingat sesuatu dalam cara yang kita mahu mengingatinya. Faktor ini jelas menjelaskan bahawa kita menukar ingatan kita sesuai dengan apa yang kita mahu ia jadi atau bagaimana kita rasa ia sepatutnya jadi. Faktor ini boleh didemonstrasikan seperti contoh berikut:

Cuba baca perkataan-perkataan berikut dengan kuat:
katil, rehat, bangun, letih, mimpi, malam, selesa, dengkuran, makan

Sekarang tanya orang yang mendengar yang mendengar perkataan tersebut untuk menyebutnya kembali. Berdasarkan perkataan tersebut, sekurang-kurangnya separuh daripada senarai perkataan tersebut melibatkan perkataan tidur, maka, orang tersebut berkemungkinan akan menyenaraikan perkataan TIDUR juga bersama senarai di atas. 

"Distortion" boleh diaplikasikan secara menarik dalam situasi penyiasatan kesahan dan kebolehpercayaan maklumat yang diberi oleh saksi dalam mahkamah. 

Contoh, penyoal bertanya soalan pembawaan dan menyebabkan saksi untuk "ingat" sesuatu perkara yang sebenarnya tidak berlaku. Contoh soalan "Apakah warna jaket mangsa?" boleh menyebabkan saksi untuk ingat jaket yang tidak wujud sebenarnya. 

4. GANGGUAN

Banyak lupaan berlaku kerana gangguan melalui pembelajaran yang lain. Ia tidak membayangkan kapasiti simpanan ingatan yang terhad di mana maklumat baru yang diterima akan menolak maklumat lama keluar daripada minda. Ia tidak berkaitan dengan jumlah yang telah kita pelajari tetapi apa yang kita belajar yang menentukan berlakunya lupaan melalui gangguan.

5. TEKANAN

Ahli pakar ingatan, Arthur Bornstein telah mengkategorikan tekanan yang tinggi sebagai musuh pertama kepada ingatan yang baik. Menurut beliau, respons-respons tradisional atau biasa yang dilakukan oleh orang ramai untuk menghadapi stres seperti minum-minuman alkohol dan merokok boleh membawa kesan buruk kepada ingatan dan menyusahkan kita untuk mencapai matlamat. Oleh itu, beliau mengajar kliennya untuk menghilang meditasi, sesi yoga dan senaman supaya tidak merosakkan ingatan manusia penting. 


Sumber:
Norul Haida Bt Hj. Redzuan (2013). Ilmu Psikolinguistik. Emeritus Publication: Tanjong Malim, Perak.


Sekian, terima kasih.