Kemampuan manusia untuk mengingat sesuatu dan menggunakannya semula adalah terhad. Walau bagaimanapun, lupaan yang berlaku pada manusia tidak semestinya sesuatu yang buruk. Sekiranya kita tidak lupa, minda kita akan bertaburan dengan banyak benda-benda tidak penting yang mungkin menyebabkan tidak dapat membuat pemilihan maklumat yang berguna dan berkaitan kepada kita dalam membuat sesuatu keputusan. Lupa perkara yang tidak penting membantu kita untuk mengingati perkara yang penting.
Lupaan adalah lebih mudah dan senang berlaku berbanding untuk kita mengingat sesuatu perkara. Hal ini berlaku kerana untuk lupa, kita hanya perlu gagal dalam salah satu daripada peringkat ingatan iaitu peringkat rakaman, menyimpan dan mengingat kembali. Manakala untuk mengingat, kita perlu berjaya dalam ketiga-tiga peringkat tersebut. Boleh dikatakan peluang untuk mengingat ialah satu manakala peluang untuk lupa ialah tiga.
Berikut merupakan faktor-faktor yang menyebabkan terjadinya ingatan terjejas dan lupaan berlaku.
1. KEPUDARAN DAN KEUSANGAN
Dengan berlalunya masa, kepudaran atau keusangan berlaku pada ingatan. Ini menyebabkan hilangnya kesan ingatan (memory trace). Ini bermakna, makin lama tempoh masa antara masa pembelajaran dengan masa bahan itu diingat kembali, makin kabur maklumat atau bahan pembelajaran itu sehingga pudar dan luput daripada simpanan jangka panjang. Faktor ini merupakan penjelasan tentang ingatan yang paling lama dan paling luas digunakan.
2. REPRESI
Penjelasan faktor ini telah dicadangkan oleh Sigmun Frued dalam teorinya yang berkenaan minda bawah sedar. Menurut beliau, ingatan-ingatan yang tidak gembira atau tidak ingin diterima boleh dilupakan dengan sengaja sekiranya kita berniat berbuat demikian. Ingatan-ingatan tersebut dimasukkan ke dalam minda bawah sedar dengan sengaja supaya individu tersebut tidak perlu lagi hidup bersamanya.
Walau bagaimanapun sebahagian daripada perkara dalam Teori Freud tidak diterima secara meluas, tetapi ramai ahli psikologi percaya bahawa lupaan yang bermotivasi tersebut boleh berlaku dalam kehidupan seharian kita.
Sebagai contoh, apabila kita balik daripada percutian, kita selalu akan mengingat waktu-waktu yang gembira semasa percutian dan melupakan waktu-waktu yang tidak sedih dan gembira. Orang yang berjudi juga berkecenderungan untuk ingat waktu-waktu yang dia menang dan lupa waktu-waktu yang dia kalah.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa kita dengan sengaja lupa kerana kita mahu untuk lupa.
3. PENYELEWENGAN
Ingatan manusia boleh dipengaruhi oleh nilai-nilai dan minat-minat kita. Oleh itu, kita boleh mengingat sesuatu dalam cara yang kita mahu mengingatinya. Faktor ini jelas menjelaskan bahawa kita menukar ingatan kita sesuai dengan apa yang kita mahu ia jadi atau bagaimana kita rasa ia sepatutnya jadi. Faktor ini boleh didemonstrasikan seperti contoh berikut:
Cuba baca perkataan-perkataan berikut dengan kuat:
katil, rehat, bangun, letih, mimpi, malam, selesa, dengkuran, makan
Sekarang tanya orang yang mendengar yang mendengar perkataan tersebut untuk menyebutnya kembali. Berdasarkan perkataan tersebut, sekurang-kurangnya separuh daripada senarai perkataan tersebut melibatkan perkataan tidur, maka, orang tersebut berkemungkinan akan menyenaraikan perkataan TIDUR juga bersama senarai di atas.
"Distortion" boleh diaplikasikan secara menarik dalam situasi penyiasatan kesahan dan kebolehpercayaan maklumat yang diberi oleh saksi dalam mahkamah.
Contoh, penyoal bertanya soalan pembawaan dan menyebabkan saksi untuk "ingat" sesuatu perkara yang sebenarnya tidak berlaku. Contoh soalan "Apakah warna jaket mangsa?" boleh menyebabkan saksi untuk ingat jaket yang tidak wujud sebenarnya.
4. GANGGUAN
Banyak lupaan berlaku kerana gangguan melalui pembelajaran yang lain. Ia tidak membayangkan kapasiti simpanan ingatan yang terhad di mana maklumat baru yang diterima akan menolak maklumat lama keluar daripada minda. Ia tidak berkaitan dengan jumlah yang telah kita pelajari tetapi apa yang kita belajar yang menentukan berlakunya lupaan melalui gangguan.
5. TEKANAN
Ahli pakar ingatan, Arthur Bornstein telah mengkategorikan tekanan yang tinggi sebagai musuh pertama kepada ingatan yang baik. Menurut beliau, respons-respons tradisional atau biasa yang dilakukan oleh orang ramai untuk menghadapi stres seperti minum-minuman alkohol dan merokok boleh membawa kesan buruk kepada ingatan dan menyusahkan kita untuk mencapai matlamat. Oleh itu, beliau mengajar kliennya untuk menghilang meditasi, sesi yoga dan senaman supaya tidak merosakkan ingatan manusia penting.
Sumber:
Norul Haida Bt Hj. Redzuan (2013). Ilmu Psikolinguistik. Emeritus Publication: Tanjong Malim, Perak.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment